Terma dan Syarat Permohonan

 

PEJABAT SETIAUSAHA PERSEKUTUAN SABAH

TERMA DAN SYARAT
PERMOHONAN RUMAH KUARTERS KERAJAAN
 

PERATURAN MENDIAMI RUMAH KEDIAMAN PERSEKUTUAN

Penghuni – penguni kediaman Persekutuan diminta bekerjasama mematuhi peraturan-peraturan seperti berikut :

1.    Semua penghuni adalah tertakluk kepada perumahan setiap masa dan sepenuhnya ke atas kandungan Bab E, Rumah dan Bangunan Pejabat Kerajaan 1974, PERINTAH – PERINTAH AM DAN ARAHAN PENTADBIRAN yang berkuatkuasa 1 Feb. 1974;

2.    Semua Penghuni perlu mengisi Sijil Akuan Masuk Rumah dengan menyatakan tarikh untuk memasuki rumah dan seterusnya menandatangani Sijil Akuan Masuk Rumah (P.A.’E’29) serta mengambilalih tanggungjawab ke atas segala barang, perkakas dan perabot dalam rumah tersebut;

3.    Penghuni tidak dibenarkan membawa bukan ahli keluarga untuk tinggal bersama (‘Keluarga Pegawai’ mengikut Bab E, Perintah –perintah Am dan Arahan Pentadbiran bermakna bagi pegawai lelaki, isteri dan anak-anaknya;dan bagi pegawai permpuan, suami dan anak-anaknya;

4.    Semua penghuni tidak dibenar menyewakan mana-mana bahagian rumah kediaman;

5.    Semua penghuni dikehendaki sentiasa menjaga kebersihan dalaman/luaran rumah dan keseluruhan kawasan kompleks kediaman dari sebarang sampah sarap oleh ahli-ahli keluarga;

6.    Semua penghuni dikehendaki sentiasa memastikan penjagaan yang baik ke atas harta benda milik kerajaan yang disediakan di dalam rumah dan di kawasan-kawasan gunasama dari sebarang salah guna dan sebagainya oleh ahli-ahli keluarga;

7.    Semua penghuni dikehendaki melaporkan sebarang kerosakan rumah ke Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dari masa ke semasa menggunakan borang khas yang disediakan;

8.    Semua perabot /peralatan milik Kerajaan sama ada berkeadaan baik atau sebaliknya perlu sentiasa berada dalam rumah. Sekiranya rosak perlu melaporkan dengan segera secara bertulis kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan seterusnya mendapatkan kebenaran bertulis jika hendak mengeluarkannya dari rumah;

9.    Semua penghuni dikehendaki membuat penggantian/ pembaikan segera dengan tanggungan kos sendiri segala kerosakan seperti penggantian bulb/ballast lampu, kepala paip, tombol/selak/kunci pintu-pintu, tilam/bantal, semua anak kunci/kunci hilang atau rosak, soekt letrik, jaring nyamuk, cermin tingkap jenis laras(nako), shower, pemanas air, pembaikan saluran tersumbat di sinki dapur, kerosakan flush tangki simbah di tandas, penghawa dingin/dapur (jika disediakan) dan kerosakan semua perabot yang disediakan;

10.Semua penghuni tidak dibenar meletakkan barangan using/rosak (seperti perabot lama, peralatan letrik rosak, kereta lama/using)sama ada milik Kerajaan/ persendirian di sekitar unit  kediaman/ kawasan gunasama atau mana-mana kawasan yang menjejaskan kebersihan dan pemandangan kompleks kediaman;

11.Semua penghuni hendaklah membuang sampah-sampah dengan menggunakan karung plastik yang diikat dan dimasukkan ke dalam tong sampah, jika sampah-sampah ini dibuang oleh kanak-kanak, pastikan mereka berupaya untuk mengangkat karung plastic tersebut masuk ke dalam tong sampah yang disediakan (dan seterusnya menutup pintu pagar/bangunan yang menempatkan tong sampah tersebut jika ada;

12.Semua penghuni tidak dibenar membuat pengubahsuaian struktur rumah, memaku,membuat lubang, menconteng dan seumpamanya di dinding kediaman yang merosakkan binaan dalaman/luaran rumah;

13.Semua penghuni tidak dibenar menjalankan apa-apa aktiviti di dalam rumah/kawasan kediaman dengan sebarang kegiatan seperti maksiat dan sebagainya yang menyalahi undang-undang Negara dan menjejaskan ketenteraman penghuni lain. Ini termasuklah mengadakan parti minuman keras, memasang radio/tv/karaoke dengan volume yang kuat, bermain bola/bola keranjang di dalam rumah, menumbuk sambal tanpa berlapik, perbualan/pergaduhan/pertengkaran sesama ahli keluarga dengan suara kuat terutama pada waktu malam, betukang pada waktu malam dan seumpamanya.

14.Semua penghuni tidak dibenar memasang sebarang peralatan elektrik yang melibatkan pendawaian seperti penghawa dingin dan seumpamanya tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah;

15.Semua penghuni tidak dibenar menjalankan apa-apa perniagaan dalam kawasan kediaman;

16.Semua penghuni dilarang membakar mercun/bunga api pada sebarang masa di kawasan kediamaan;

17.Semua penghuni dilarang membawa masuk ke kawasan kediaman sebarang kenderaan perdagangan (seperti bas, lori,pick-up) yang boleh merosakkan jalan/tempat letak kenderaan dan sebagainya kecuali hanya ketika berpindah;

18.Semua penghuni dibenar membawa kenderaan dengan kelajuan tidak melebihi 40km/jam di dalam kawsan kediaman;

19.Semua penghuni hanya diberikan satu sahaja petak letak kenderaan di bawah bangunan;

20.Semua penghuni dilarang mencuci kenderaan di kawasan letak kenderaan;

21.Semua penghuni tidak dibenar mengguna air dari tandas / tempat wuduk surau atau dari mana-mana pili gunasama untuk kegunaan persendirian seperti mencuci kenderaan dan sebagainya;

22.Semua penghuni dikehendaki tidak  meletakkan hos mesin basuh yang menyebabkan air dari hos jatuh di kakilima bangunan/tempat letak kenderaan yang boleh menyebabkan kawasan tersebut berlumut/kotor dan sebagainya.ini termasuklah tidak menjemur pakaian basah yang tidak dibilas di balkoni hingga air jatuh ke bawah. Pakaian hendaklah disidai di ruangan bahagian dalam balkoni;

23.Semua penghuni dilarang menjemur pakaian di pagar atau mana-mana kawasan gunasama dalam kawasan kediaman (seperti padang permainan, kawasan letak kenderaan dll.)

24.Semua penghuni dilarang menanam pokok-pokok besar yang akarnya boleh merosakkan petak binaan simen dan sebagainya;

25.Semua penghuni tidak dibenar memelihara sebarang binatang peliharaan termasuk burung, anjing, kucing, arnab dan lain-lain temasuk bercucuk tanam sayuran di kawasan kediaman yang boleh merosakkan lanskap kediaman;

26.Semua penghuni dikehendaki memastikan hanya anak-anak yang berumur kurang 12 tahun sahaja yang menggunakan kemudahan/peralatan di padang permainan kanak-kanak (jika ada disediakan);

27.Semua penghuni perlu menjimatkan penggunan air dan elektrik serta menjejaskan semua bil-bil elektrik, air telefon dan lain-lain secara semasa iaitu tanpa ada sebarang tunggakan;

28.Penghuni yang hendak menggunakan Dewan Serbaguna perlu mendapat kebenaran bertulis dari Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan akan dikenakan caj bagi menampung kos elektrik, air dan pembersihan;

29.Penghuni dikehendaki: menubuh dan menggerakkan Jawatankuasa Penghuni, bergiat cergas serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa tersebut;

30.Semua penghuni dikehendaki sentiasa melibatkan diri dan hadir dalam kegiatan-kegaiatan surau bagi  yang muslim;

31.Semua penghuni dikehendaki membenarkan Pegawai/kakitangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah atau kontraktor yang dilantik memasuki/memeriksa rumahnya untuk tujuan pembaikan rumahnya atau mana-mana rumah, dan sebagainya pada sebarang masa;

32.Penghuni hanya dibenarkan mendiami kediaman untuk tempoh selama lima (5) tahun sahaja dari tarikh surat tawaran dikeluarkan;

33.‘PERATURAN MENDIAMI RUMAH KEDIAMAN PERATURAN’ yang dikeluarkan ini hendaklah sentiasa dirujuk dan disimpan dalam sampul bersekali dengan senarai inventori yang telah disediakan dalam setiap rumah;

34.Penghuni yang berpindah keluar dari rumah kediaman hendaklah mengisi Sijil Akuan Keluar Rumah dan mengemukakannya kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh sebenar berpindah; dan seterusnya menandatangani Sijil Akuan Keluar Rumah (P.A.’E’ 30) serta menyerahkan semua kunci-kunci rumah tersebut;

35.Penghuni dikehendaki mematuhi sebarang peraturan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dari masa ke semasa. Kegagalan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan atau tidak memberikan kerjasama , boleh membawa kepada penghuni yang berkenaan ditarik balik tawaran menduduki rumah kediaman tersebut; dan

36.Ganjaran akan diberikan kepada pemberi laporan mengenai kes-kes pelanggaran mana-mana peraturan di atas oleh mana-mana penghuni. Ini termasuklah aduan mengenai para penghuni yang memiliki rumah kediaman sendiri atau menjadikan kediamannya sebagai rumah persinggahan atau membenarkan bukan ahli keluarganya tinggal bersama.

 

PEJABAT SETIAUSAHA PERSEKUTUAN SABAH

KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN SABAH

JALAN UMS, BLOK A, ARAS 7

BEG BERKUNCI NO.2063

88400 KOTA KINABALU